Sunday, 15 September 2013

BOLA SEPAK PIALA MENTERI PENDIDIKAN MALAYSIA 2013 : KEMENANGAN TIPIS KE ATAS UiTM SHAH ALAM SUDAH MEMADAI BUAT UKM

Kemenangan tipis 1-0 keatas juara 2 kali Piala Menteri Pendidikan iaitu UiTM Shah Alam sudah memadai bagi skuad UKM untuk melangkah ke perlawanan akhir buat kali ketiga dan merupakan pentas akhir kali yang kedua berturut-turut. Bermain di Stadium yang dianggap halaman sendiri iaitu Stadium USIM, UKM menggunakan segala kelebihan yang ada dengan kehadiran penyokong serta sudah biasa dengan keadaan padang di stadium tersebut. UKM yang turun dengan misi untuk mempertahankan kejuaraan tahun lalu berjaya merobek gawang UiTM pada permulaan babak kedua menerusi jaringan yang dibuat oleh pemain bernama Gusti. Selepas mendahului lawan, pasukan tuan rumah ternyata menginginkan kemenangan dan berjaya melakukan beberapa percubaan ke arah gawang UiTM. Walaupun UKM bermain tanpa kelibat penyerang bernama Azri Din yang digantung perlawanan akibat layangan kad merah semasa aksi suku akhir pada sabtu lalu, pasukan yang dibimbing oleh En.Sulaiman itu ternyata tidak mematahkan semangat untuk membenam ego pasukan UiTM. Pasukan Universiti Kebangsaan Malaysia bakal bertemu dengan pasukan Universiti Malaya pada babak akhir yang dijangka berlangsung pada 25/9 ini. Terdahulu, Universiti Malaya berjaya membenam pasukan dari universiti swasta, MMU dengan jaringan 2-1.


BEBERAPA GAMBAR PADA AKSI 
SEPARUH AKHIR PETANG SEMALAM













Info ditulis oleh : Bang Brahim
Gambar diperoleh dari : RadioTVsports.com (FB)














Saturday, 14 September 2013

BOLA SEPAK PIALA MENTERI PENDIDIKAN MALAYSIA 2013 : UKM & UiTM BUAT PERHITUNGAN PADA AKSI SEPARUH AKHIR

Juara tahun lalu UKM bakal berdepan juara 2 kali UiTM Shah Alam pada aksi separuh akhir yang bakal berlangsung petang esok. UKM yang turun tanpa seorang pemain utama, Azri Din akibat layangan kad merah pada aksi suku akhir petang tadi sudah pasti merencatkan jentera serangan pasukan UKM. Walaupun UiTM Shah Alam dilihat berpeluang untuk memenangi perlawanan, pasukan UKM sudah pasti tidak akan menyerah kalah sehingga tiupan wisel penamat. Dengan prestasi pemain yang dilihat agak seimbang, UKM akan menggunakan segala kelebihan bermain di Stadium USIM yang merupakan stadium utama pasukan UKM sepanjang saingan merebut Piala Menteri Pendidikan Malaysia pada tahun ini. Pasukan Universiti Kebangsaan Malaysia yang dibimbing oleh jurulatih berpengalaman, En.Sulaiman terlebih dahulu menunjukkan jalan keluar kepada pasukan dari pantai timur iaitu Politeknik Kota Bahru (PKB) pada aksi suku akhir petang tadi dengan jaringan 4-0. Gol UKM dijaringkan oleh Azri (2gol), Fitri Zaim dan Baharom masing-masing menjaringkan 1 gol. Pasukan UiTM pula menewaskan juara Liga IPT musim 2013 UiTM Perlis untuk mara ke saingan separuh akhir. Satu lagi separuh akhir bakal menyaksikan pasukan MMU menentang pasukan UM yang akan berlangsung di Stadium UM. kedua-dua aksi separuh akhir akan bermula pada 4 petang.

SEPARUH AKHIR
PIALA MENTERI PENDIDIKAN MALAYSIA
2013

MMU vs UM - STADIUM UM
UKM vs UiTM SHAH ALAM - STADIUM USIM

*Kami warga UKM mendoakan kejayaan bakal dibawa pulang ke UKM

Macam sebelum ni, sekiranya UKM melangkah ke Final,, geng2 bang brahim
akan turun ke stadium untuk menyaksikan perlawanan tersebut.


Thursday, 12 September 2013

FESTIVAL PENCAK SILAT UKM 2013

Pusat Kebudayaan JPPEL dan Urus Setia Artisukma dengan kerjasama Persatuan-Persatuan Seni Silat Universiti Kebangsaan Malaysia akan menganjurkan Festival pencak silat UKM 2013. Terdapat beberapa persatuan seni silat yang akan mempersembahkan persembahan. Antara persatuan silat yang bakal melakukan persembahan adalah, Persatuan Seni Silat Gayung Fatani UKM, Persatuan Seni Silat Cekak Hanafi UKM, Persatuan Seni Silat GayungMalaysia UKM, Pertubuhan Seni Silat Kunci Melayu Kesastria Warisan Malaysia serta Grup Silat Perkasawan Bangi. Selain itu, pihak penganjur telah menjemput persatuan lain yang akan melakukan persembahan pada malam tersebut. Persatuan yang dimaksudkan adalah Persatuan Silambam Selangor serta Persatuan Seni Aikido Bangi. Festival yang bakal berlangsung selama sehari itu akan diadakan pada 28 september 2013 bermula jam 12.00 tengah hari sehingga jam 11.00 malam bertempat di DECTAR UKM. Acara kemuncak festival tersebut akan bermula pada jam 8.00 malam dimana kesemua persatuan silat yang disenaraikan bakal melakukan persembahan. Warga UKM dijemput hadir pada malam kemuncak tersebut untuk menyaksikan pesilat-pesilat melakukan persembahan. 


Tuesday, 10 September 2013

STADIUM UKM BAKAL BERWAJAH BARU MENJELANG SUKAN STAF IPT

Warga Universiti Kebangsaan Malaysia bakal menerima khabar gembira apabila track balapan dan juga padang di stadium UKM yang sedia ada bakal digantikan menjelang sukan staf ipt bulan november akan datang. UKM yang telah bersetuju untuk menjadi tuan rumah bagi temasya sukan staf kali ini telah mengambil keputusan untuk membaik pulih track balapan dan juga padang yang sedia ada. Antara sebab lain yang menyebabkan pihak UKM menukar track balapan itu juga kerana, track balapan sedia ada sudah terlalu lama untuk dijadikan sebagai gelanggang temasya sukan yang bakal menerima atlet-atlet staf ipt terbaik seluruh Malaysia. Sebelum ini, Universiti Kebangsaan Malaysia telah menaik taraf semua gelanggang yang terdapat di kompleks sukan UKM termasuk membina satu gelanggang futsal yang mengikut ukuran sebenar FIFA. Gelanggang futsal itu juga boleh digunakan pada waktu malam kerana pihak UKM telah meletakkan lampu limpah bagi memudahkan lagi mana-mana pihak yang ingin mengadakan perlawanan pada waktu malam.

Stadium UKM sebelum dibaik pulih


Proses membaik pulih sedang dijalankan


Stadium UKM ditutup dari sebarang aktiviti
bagi memastikan kerja-kerja penambahbaikan 
berjalan dengan lancar 



BOLA SEPAK GRAND FINAL PIALA MENTERI PENGAJIAN TINGGI MALAYSIA 2013 : UKM MENANG BESAR

Juara tahun lalu, Universiti Kebangsaan Malaysia seolah-olah sudah mula mendapat rentak permainan yang sebenar apabila mudah membenam pasukan Universiti Putra Malaysia pada aksi kedua kumpulan b petang semalam. Diletakkan sebagai pasukan pilihan untuk mengetuai saingan kumpulan b, UKM mudah menyerap tekanan walaupun perlawanan terpaksa ditukarkan tempat. Sekembalinya 6 pemain utama yang tidak beraksi pada perlawanan pertama menentang UMS yang lalu telah menampakkan prestasi yang terbaik kepada pasukan UKM. Din muncul wira UKM apabila menjaringkan 4 gol bagi memastikan kemenangan yang besar dicapai oleh pasukan UKM. 6 gol UKM dijaringkan oleh Din (4gol), Gusti (1gol) dan azri (1gol).
Pada perlawanan seterusnya, UKM bakal berdepan dengan pasukan dari semenanjung malaysia iaitu UiTM Sarawak. Diharapkan keserasian yang dipamerkan dapat dikekalkan agar UKM berjaya mempertahankan kejuaraan yang dicapai tahun lalu Insya Allah.


Ketua pasukan UKM bersalaman besama seorang 
penaja baru yang telah menaja jersi pasukan 
UKM FC bagi kempen Piala Menteri Pengajian Tinggi 2013
sebelum perlawanan pertama berlangsung.


KEPUTUSAN PENUH PERLAWANAN KETIGA
 PERINGKAT KUMPULAN

Keputusan MD3, 10 September 2013
Kump. A - UiTM Perlis 4-1 UTHM
Kump. B - UKM 6-1 UPM
Kump. C - UiTM 7-0 KK Perak 
Kump. D - UM 1-0 KK Pahang



Sunday, 8 September 2013

BOLA SEPAK GRAND FINAL PIALA MENTERI PENGAJIAN TINGGI 2013 : UKM HAMPIR DI JERAT UMS

Pasukan tuan rumah UKM, hampir-hampir di jerat oleh pasukan dari Sabah iaitu UMS pada aksi pembuka tirai kumpulan b petang tadi. UKM yang turun tanpa 6 tonggak utama terpaksa berhempas pulas sebelum berjaya mengutip 3 mata penuh pada perlawanan pertama sebentar tadi. Pada aksi sebentar tadi, UKM mendahului pasukan pelawat seawal minit ke 15 hasil jaringan Gusti (tak tau nama sebenar). Kegembiraan UKM tidak kekal lama apabila pasukan pelawat berjaya menyamakan kedudukan tidak lama selepas itu. Tidak lama selepas itu, Gusti sekali lagi meletakkan nama beliau sebagai penjaring gol apabila berjaya merembat kencang bola kearah gawang gol UMS bagi meletakkan UKM dihadapan. Malang menimpa UKM apabila terpaksa bermain dengan 10 orang pemain semasa perlawanan memasuki minit ke 35 apabila Muhammad Rijal Fikry dilayangkan kad merah selepas mengasari penjaga gawang pasukan UMS. Pada penghujung babak pertama, UKM hampir menambah jaringan gol hasil gerakan cantik ketua pasukan UKM Fitri Zaim namun, palang gol menjadi penghalang. Memasuki babak kedua, pasukan pelawat berjaya menyamakan kedudukan semasa permainan memasuki minit ke 70. Tersentak dengan jaringan itu, pasukan tuan rumah terus menggandakan asakan ke kubu lawan. Ketua pasukan UKM menjadi wira apabila mudah menolak masuk bola ke gawang pelawat hasil kesilapan pemain pertahanan pasukan UMS yang gagal mengeluarkan bola dari kawasan merbahaya pada penghujung perlawanan. Tahniah diucapkan kepada pasukan UKM.

Perlawanan Kedua Kumpulan B

UKM vs UPM
Selasa ( 10/9/2013 )
4.45 Petang
Padang A UKM ( Pavilion )



Gusti (x tau nama sebenar) merupakan
pemain yang berjaya menjaringkan
2 gol bagi pasukan UKM

Ketua Pasukan UKM, Fitri Zaim
menjadi wira UKM apabila
menjaringkan gol kemenangan
pada babak akhir permainan

Jurulatih UKM berkata sesuatu selepas tamat 
babak pertama permainan



Saturday, 7 September 2013

BOLA SEPAK GRAND FINAL PIALA MENTERI PENGAJIAN TINGGI : UKM BUKA TIRAI SAINGAN MENENTANG UMS

Juara edisi 2012 iaitu pasukan Universiti Kebangsaan Malaysia bakal membuka tirai saingan bola sepak bagi merebut Piala Menteri Pengajian Tinggi menentang Universiti Malaysia Sabah pada petang ini. UKM yang menjadi juara pada edisi lalu bakal kehilangan 6 tonggak utama kerana sedang mewakili UKM bagi saingan futsal yang berlangsung di Sarawak. Pasukan UKM juga bakal kehilangan pemain berpengalaman iaitu K.Ruben pada saingan awal peringkat kumpulan pada kali ini kerana beliau sedang mewakili pasukan harimau muda 'a' pada saingan merebut Piala Pesta Bola Merdeka yang sedang berlangsung di Kuantan, Pahang. Walaubagaimanapun, beberapa pemain baru telah dikenal pasti untuk menggantikan beberapa tempat kosong pada petang ini. UKM telah diundi didalam kumpulan b bersama 3 lagi pasukan lain iaitu UPM, UiTM Sarawak dan juga UMS. Ayuh kita turun bagi memberikan sokongan kepada pasukan UKM pada petang ini.

UKM vs UMS
Padang A, UKM (Pavilion)
4.45petang


UKM bakal kehilangan ketua pasukan
Mohamad Hafizudin kerana mewakili
pasukan futsal UKM

Faiz bakal mengetuai barisan pertahanan
UKM pada petang ini






Friday, 30 August 2013

KEJOHANAN SUKAN MASUM 2013 : BOLA TAMPAR CEMERLANG DALAM 2 KATEGORI

Pasukan bola tampar UKM menunjukkan aksi yang patut dibanggakan kerana berjaya membawa pulang 1 pingat emas dan satu pingat gangsa pada kejohanan sukan MASUM 2013 yang melabuhkan tirainya semalam. Pingat emas berjaya dibawa pulang oleh pasukan lelaki yang rata-rata dibarisi pemain kebangsaan dan pemain negeri. Pasukan wanita pula berjaya membawa pulang pingat gangsa walaupun rata-rata pemain terpaksa membahagikan tenaga kepada pasukan bola baling terlebih dahulu. Namun, dengan semangat yang ada pada setiap pemain, pasukan bola tampar wanita harus diberi pujian kerana berjaya membawa pulang pingat gangsa. Pasukan lelaki berjaya mencipta sejarah apabila berjaya mengekalkan pingat emas MASUM buat kali yang ketujuh berturut-turut. Tahniah diucapkan kepada semua atlet dan juga pegawai.

Skuad Bola Tampar Lelaki berjaya mempertahankan
pingat emas

Pasukan bola tampar wanita yang berjaya
membawa pulang pingat gangsa






Friday, 23 August 2013

KEJOHANAN SUKAN MASUM 2013 UIAM : SOFBOL BUKA TIRAI ESOK

Sofbol bakal membuka tirainya esok yang bakal menyaksikan UKM telah diundi didalam kumpulan B bersama-sama 3 lagi universiti lain. Saingan kumpulan B pasti lebih menarik apabila penyandang pingat perak tahun lalu iaitu Universiti Malaya turut sama diundi bersama pasukan UKM. 2 lagi universiti ialah universiti teknologi malaysia (UTM) dan juga universiti malaysia terengganu (UMT). Pusat Sukan UKM membuat keputusan saat-saat akhir untuk menyenaraikan pasukan sofbol yang sudah lama menyepi ini untuk menyertai kejohanan MASUM kali ini. Pasukan sofbol cuma mendapat 1 minggu untuk berlatih dibawah kendalian jurulatih berpengalaman yang juga bekas pelajar UKM. Mengikut pencapaian semasa perlawanan persahabatan menentang UPM minggu lalu, prestasi pemain telah meningkat sedikit demi sedikit. Pada perlawanan persahabatan menentang UPM, pasukan UKM telah berjaya menundukkan pasukan UPM dengan kiraan 6-4..Diharap semua pemain akan menunjukkan prestasi yang terbaik sepanjang kejohanan berlangsung nanti...

25/8/2013 (Ahad) - 10.15am - UKM vs UTM
26/8/2013 (Isnin) - 8.30am - UKM vs UMT
26/8/2013 (Isnin) - 3.00pm - UKM vs UM

*KESEMUA PERLAWANAN BAKAL BERLANGSUNG DI PADANG SOFBOL
UNIVERSITI MALAYA.

Pemain sofbol UKM bergambar kenangan bersama-sama
pemain UPM selepas tamat perlawanan
persahabatan 

Thursday, 22 August 2013

KEJOHANAN SUKAN MASUM 2013 UIAM : BOLA BALING (W) SEKADAR TEMPAT KEEMPAT

Harapan UKM untuk mengutip satu lagi pingat sekurang-kurangnya pingat gangsa pada hari ini menerusi acara bola baling (W) tidak kesampaian apabila kecundang pada saingan penentuan pingat gangsa. Harapan pasukan UKM telah diranapkan oleh pasukan dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) pada penentuan pingat gangsa. Pada perlawanan pertama peringkat kumpulan UKM tewas ditangan pasukan UPSI. Namun begitu, pasukan UKM bangkit pada 2 perlawanan berikutnya ketika menentang pasukan tuan rumah UIAM dan juga UTM untuk layak ke saingan suku akhir. Pada aksi suku akhir, UKM berjaya mengetepikan saingan UPM untuk mara ke perlawanan separuh akhir bertemu pasukan UiTM. Hasrat untuk mengejutkan pasukan UiTM tidak berjaya apabila tewas pada perlawanan separuh akhir itu. Satu lagi pasukan iaitu pasukan bola baling (L) tidak berjaya mengikut jejak langkah pasukan (W) apabila ditunjukkan jalan keluar pada perlawanan suku akhir semalam.

Pasukan Bola Baling Wanita

KEJOHANAN MASUM 2013 (UIAM) : FUTSAL UKM RAIH PINGAT PERAK


Harapan untuk membawa pulang pingat emas menerusi acara futsal lelaki terkubur setelah tewas tipis pada perlawanan akhir petang tadi. UiTM sekali lagi menjadi penghalang pasukan UKM untuk membawa pulang pingat emas pada kejohanan MASUM yang berlangsung di UIAM itu. Rata-rata pemain yang bermain adalah pemain yang mewakili pasukan bola sepak UKM yang berjaya menduduki tangga ke 2 bagi saingan Liga IPT yang telah melabuhkan tirainya pada bulan JUN yang lalu. Tahniah diucapkan kepada pasukan futsal lelaki UKM. Cuba lagi pada tahun yang akan datang. 

Monday, 5 August 2013

SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI


SELAMAT MENYAMBUT HARI RAYA AIDILFITRI
MAAF ZAHIR & BATIN DIUCAPKAN KEPADA
SEMUA PEMBACA YANG TELAH MEMBACA 
INFO-INFO SUKAN YANG TELAH DI TULIS OLEH 
BANG BRAHIM@ZAID ASYRAF
......SEMOGA KITA BERTEMU LAGI.....

Saturday, 27 July 2013

RANGKUMAN BOLA SEPAK LIGA IPT 2013 : UKM BAIKI PENCAPAIAN 2012

Pasukan Universiti Kebangsaan Malaysia sekali lagi membuktikan bahawa mereka adalah pasukan yang perlu digeruni didalam kancah bola sepak IPT pada masa kini. Pada bulan Mac sehingga penghujung bulan Jun yang lalu telah berlangsungnya Liga Bola Sepak IPT pada musim 2013. Boleh dikatakan hampir kesemua IPT bertanding pada saingan kali ini yang telah dibahagikan kepada 4 divisyen iaitu divisyen 1,2,3 dan juga Liga Borneo. Pasukan Universiti Kebangsaan Malaysia telah bertanding didalam saingan divisyen 1 yang menampilkan 8 pasukan IPT terbaik termasuk UKM. Pada saingan kali ini, pasukan UKM berjaya menduduki tangga kedua seterusnya memperbaiki pencapaian tahun lalu dimana UKM sekadar menduduki tagga ketiga liga. Lebih manis lagi, apabila UKM berjaya membuatkan pasukan UiTM Shah Alam berputih mata kerana tidak dapat mengekalkan pencapaian tahun lalu. Pada permulaan saingan liga bermula, UKM telah menunjukkan taring apabila berjaya memenangi 4 perlawanan dan 3 seri pada 7 perlawanan awal liga. Apabila saingan memasuki ke pertengahan liga, UKM seolah-olah hilang taring apabila kalah 2 perlawanan berturut-turut ketika menentang UM dan juga UiTM Perlis. Namun begitu, pemain-pemain UKM tidak berputus asa apabila berjaya memenangi 4 perlawanan berikutnya dan berjaya mengikat pasukan UiTM Shah Alam dalam aksi akhir perlawanan liga IPT musim ini. Mahkota Kejuaraan Liga IPT yang dimenangi oleh pasukan UiTM Shah Alam pada musim lalu telah berjaya dirampas oleh pasukan UiTM Perlis apabila mengumpul 30 mata dalam 14 perlawanan liga diikuti oleh UKM 28 mata dan UiTM Shah Alam 27 mata. Tahniah diucapkan kepada pasukan UKM kerana berjaya menduduki tangga kedua Liga IPT 2013. Teruskan usaha bagi mengekalkan kejuaraan Piala Menteri Pengajian Tinggi 2013.

Barisan Pemain UKM FC musim 2013

Muhammad Asyraf kiri, berjaya menjadi penjaring 
terbanyak bagi pasukan UKM selepas 
berjaya menjaringkan 7 gol dalam aksi Liga IPT


Sunday, 2 June 2013

UKM BANGKIT SELEPAS 2 KEKALAHAN

Pasukan UKM fc seolah-olah telah mendapat semula sentuhan juara apabila berjaya menewaskan KKK dengan jaringan 4-2 malam semalam. UKM fc yang turun dengan misi untuk mengutip mata penuh telah menurunkan kesebelasan utama yang dilihat mampu untuk mengutip 3 mata yang diinginkan. Pada perlawanan yang berlangsung di Stadium UKM malam tadi, pasukan pelawat terlebih dahulu membuka tirai jaringan. Tersentak dengan jaringan itu pasukan tuan rumah menggandakan asakan dan berjaya menyamakan kedudukan menerusi jaringan yang dibuat oleh Daud Bahari. Walaubagaimanapun, pasukan pelawat sekali lagi mendahului menerusi jaringan cantik yang dilakukan oleh pemain pelawat hasil tendangan dari luar kotak penalti. Pasukan tuan rumah tidak mudah melatah dengan jaringan itu, namun berjaya menyamakan kedudukan menerusi Muhammad Asyraf. Tidak lama selepas itu, pemain-pemain UKM fc terus melakukan asakan dan hasilnya UKM berjaya mendahului 3-2 menerusi jaringan yang dibuat oleh pemain sayap pantas UKM, Khairun Affiemi. Beraksi dihadapan penyokong sendiri, Muhammad Asyraf sekali lagi berjaya merobek gawang pasukan pelawat sekali gus melengkapkan kemenangan 4-2 ke atas pasukan KKK. Pada aksi minggu hadapan, UKM fc bakal berhadapan dengan pasukan PKB yang berjaya membuat kejutan apabila membenam pasukan pilihan, UiTM FC minggu lalu. Tahniah diucapkan kepada pasukan UKM fc.


Khairun Affiemi menjaringkan 1 gol
bagi pasukan UKM fc

Daud Bahari juga berjaya menjaringkan 1 gol bagi
pasukan UKM fc

Muhammad Asyraf menjadi wira UKM fc.
Beliau menjaringkan 2 gol malam semalam.





Wednesday, 29 May 2013

BOLA SEPAK LIGA IPT DIVISYEN 1 : UKM TURUN DENGAN MISI WAJIB MENANG KETIKA MENENTANG KKK SABTU INI

Universiti Kebangsaan Malaysia bakal berdepan dengan Kolej Komuniti Kedah sabtu ini bakal berhadapan tugas getir apabila turun dengan misi wajib memenangi perlawanan tersebut bagi merapatkan jurang mata dengan 3 pasukan teratas liga setakat ini iaitu UiTM Perlis, UiTM Shah Alam dan juga Universiti Malaya. UKM fc yan gagal memungut sebarang mata pada 2 perlawanan terakhir ketika menentang UiTM Perlis dan juga Universiti Malaya apabila tewas 1-2 dalam 2 perlawanan tersebut. Sekembalinya beberapa pemain utama yang tidak beraksi pada 2 perlawanan sebelum ini mungkin bakal memberi sedikit kelebihan keatas pasukan UKM FC yang beraksi di halaman sendiri minggu ini. UKM yang merupakan juara Piala Menteri Pengajian Tinggi tahun lalu akan beraksi pada tahap sebenar bagi memastikan 3 mata penuh bakal di pungut di halaman sendiri sabtu ini. Dengan kemampuan beberapa pemain yang berada di posisi serangan untuk menjaringkan gol, UKM FC pasti mampu mengembalikan rentak kemenangan yang mereka perolehi semasa di peringkat awal liga. Gandingan 4 pemain pertahanan berpengalaman juga diharap mampu menyekat asakan yang bakal diberikan oleh pasukan pelawat sabtu ini.

Hafizudin sekali lagi menjadi taruhan
bagi mengetuai bahagian pertahanan
pada perlawanan sabtu ini

Asyraf antara pemain yang bakal 
memperkuatkan bahagian serangan 
UKM fc

Khairun antara pemain UKM fc
yang sering mengkucar-kacir kan
bahagian sayap pasukan lawan

KERETA KEBAL UKM fc,
Faiz antara pemain pertahanan
yang bakal diberi tanggungjawab
untuk mengekang asakan pasukan pelawat



Saturday, 25 May 2013

UKM TUMPASKAN WAKIL INDIA UNTUK KEKALKAN KEJUARAAN

Kejohanan Kriket Undangan Antara Universiti Antarabangsa yang memasuki edisi keenam tahun ini telah menampilkan UKM sebagai juara buat kali ketiga sejak kejohanan ini dianjurkan pada tahun 2008.  UKM yang mewakili universiti seluruh Malaysia berjaya menjinakkan wakil dari India dengan perbezaan 5 wicket pada perlawanan akhir semalam. UKM yang memenangi undian telah memilih untuk memadang terlebih dahulu pada sesi pertama. Wakil dari India yang membuat pukulan hanya mampu mengumpulkan 155 larian apabila pemain UKM berjaya mengeluarkan kesemua pemukul pelawat semasa over memasuki angka 49. Memasuki sesi kedua, UKM bermula dengan agak pantas untuk mengumpulkan larian dengan memasukkan Fikri Makram dan juga Adib Rahim. UKM yang kehilangan pemukul kelima semasa berbaki 30 larian untuk memenangi perlawanan tidak menghadapi sebarang masalah untuk mendapat 156 larian. Ketua pasukan UKM dengan bergaya mengumpulkan 52 larian tanpa tewas dan berjaya dipilih sebagai perlawanan terbaik perlawanan akhir semalam. Dengan kemenangan semalam, UKM berjaya mencipta sejarah apabila berjaya memenangi kesemua kejohanan yang disertai sejak februari tahun tahun lalu. Antara kejuaraan yang berjaya diperoleh oleh pasukan UKM ialah Piala Menteri Pengajian Tinggi, Perisai Raja-Raja Melayu, Piala Datuk Bandar Kuala Lumpur dan juga Kriket Undangan Antara Universiti Antarabangsa ini. Perlawanan semalam turut disaksikan oleh Duli YTM Tuanku Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Al-Marhum Tuanku Munawir yang merupakan canselor UKM serta beberapa tetamu VIP lain termasuk Tun Ahmad Sarji, Pro-Canselor UKM, Naib canselor UKm serta TNC HEPA UKM. Tahniah diucapkan kepada pasukan UKM.